Kepada
wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka
dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi
kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan
mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang
lurus.
Luruskanlah
wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu
rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba
jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan
hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang
sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada
zat Allah yang kekal, disitulah suisnya.
Akal
setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan
dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak.
Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan
keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun
tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara
atau 'women gladiator'. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan
bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya
disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah
yang mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan
dan "wan-wan" yang lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa
'superwoman'.
Wanita
yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak
menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak
boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih
ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang
dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan
sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal
Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal
lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan 'secretary', bahkan
anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan
kehilangan puteri.
Bila wanita derhaka dunia lelaki akan
huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan
limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah
kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah
diri sendiri dahulu kepada-Nya.
Jinakkan
diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah
pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau
peribadi belum lagi seperti Sayidin Ali.
# credit http://sc00ttawar.blogspot.com
No comments:
Post a Comment